PPIP, USM Terima Lawatan KPM untuk Tinjauan Fasiliti Projek Rintis Pelajar Tingkatan 6
9 April 2025 - Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima kunjungan delegasi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan peninjauan fasiliti untuk pelaksanaan projek rintis pelajar Tingkatan 6.
Lawatan ini diketuai oleh Tuan Hj Azman Mashuri, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, KPM, bersama pegawai-pegawai daripada KPM, JPN Negeri Pulau Pinang, serta PPD. Pihak PPIP pula diwakili oleh Prof. Madya Dr. Rahimi Che Aman, Dekan, serta beberapa pensyarah dan pelajar Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan.
Program lawatan dimulakan dengan sesi taklimat yang memberi penerangan mengenai struktur PPIP, kemudahan pembelajaran, dan pengalaman pelaksanaan program bersama komuniti. Delegasi KPM kemudian dibawa melawat fasiliti di PPIP termasuk Makmal Pengajaran Sains, kemudahan ICT, studio pengajaran mikro, Pusat Sumber, dan ruang santai pelajar.
Sesi dialog dua hala turut diadakan untuk membincangkan skop projek rintis, jumlah pelajar yang akan terlibat, tempoh pelaksanaan, dan cadangan modul pengayaan akademik. Hasil lawatan ini mendapati bahawa makmal di Kampus Kejuruteraan USM lebih sesuai untuk program ini, dengan tenaga pengajar berpengalaman dan persekitaran kondusif yang mampu menyokong pembangunan pelajar Tingkatan 6.
Pihak KPM dan PPIP bersetuju untuk menyediakan dokumen konsep projek rintis, melantik jawatankuasa teknikal dalaman, serta melaksanakan sesi libat urus dengan sekolah pada bulan Jun. Projek rintis ini dijangka dilancarkan pada Ogos 2025 sebagai fasa awal pelaksanaan.
Lawatan ini membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang progresif, holistik, dan selari dengan keperluan pelajar pra-universiti masa kini.