PPIP, USM Sambut Lawatan Pelajar Songkhla Rajabhat University
15 Mei 2025 - Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima kunjungan 18 orang pelajar dari Songkhla Rajabhat University (SRU), Thailand, dalam satu program lawatan akademik yang mempertemukan pelajar dan pensyarah dari kedua-dua institusi.
Lawatan ini disertai oleh pelajar tahun pertama dan kedua program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari SRU, yang mengambil jurusan Matematik, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani, Bahasa Thai, dan Kaunseling. Rombongan ini diketuai oleh Assistant Professor Dr. Sophon Chaiwatthanakunwanich, Dekan Fakulti Pendidikan, SRU.
Program ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada persekitaran pembelajaran di USM, mengeratkan hubungan antara kedua-dua institusi, serta memberi peluang untuk pertukaran pengalaman dan pandangan antara pelajar dan pensyarah.
Sesi lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan PPIP, diikuti taklimat tentang PPIP. Para pelajar turut berpeluang melawat fasiliti PPIP seperti Bilik Kaunseling, Auditorium, Learning Space, dan Pusat Sumber, serta Perpustakaan USM.
Pihak PPIP mengalu-alukan lebih banyak inisiatif kerjasama sebegini di masa hadapan, yang diyakini mampu memupuk hubungan dua hala yang lebih erat dan menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti di rantau ASEAN.