Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

Webinar Persediaan Latihan Mengajar Tingkat Kesiapsiagaan Bakal Guru

Pulau Pinang, 20 Mac 2025 – Seramai 284 pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengambil bahagian dalam Webinar Persediaan Latihan Mengajar. Program yang diadakan secara dalam talian ini bertujuan untuk memperkukuh kesiapsiagaan bakal guru dalam menghadapi latihan mengajar yang akan dimulakan di sekolah-sekolah, sekaligus membentuk mereka menjadi pendidik yang profesional dan berdaya saing.

Webinar ini menyediakan peluang kepada para pelajar untuk mendalami lebih lanjut mengenai aspek-aspek penting dalam kerjaya keguruan melalui pelbagai sesi bimbingan dan perkongsian pengalaman. Antara acara utama dalam program ini adalah sesi bimbingan oleh pengetua sekolah yang telah memberikan panduan tentang cabaran kerjaya keguruan di sekolah. Selain itu, alumni PPIP juga turut dijemput untuk berkongsi pengalaman dan nasihat, serta memberi perspektif mengenai realiti dunia pendidikan.

Satu sesi interaktif juga disediakan bersama pensyarah penyelia sebagai sesi pengenalan kepada etika keguruan, peranan guru dalam membina komuniti sekolah yang inklusif, serta kepentingan membentuk jati diri yang kukuh sebagai pendidik. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran bakal guru tentang tanggungjawab mereka bukan hanya dalam menyampaikan ilmu, tetapi juga dalam membentuk generasi yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Penganjuran webinar ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, yang bertujuan untuk memastikan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang, memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menyokong pembangunan mampan. Dalam konteks ini, pendidikan yang berkualiti dapat dicapai melalui latihan guru yang berkesan, inklusif, dan berfokus pada pembangunan profesional yang berterusan. Dengan melaksanakan program seperti ini, USM turut berusaha untuk menyumbang kepada pemerkasaan pendidikan di Malaysia serta memastikan pendidikan berkualiti dapat diberi kepada semua lapisan masyarakat.

Program ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada para pelajar, yang menunjukkan komitmen dan kesediaan mereka untuk menjalani latihan mengajar dengan lebih mantap. Para peserta melahirkan rasa terinspirasi dengan input yang diperoleh dan pastinya akan memperkasa mereka dalam persiapan menjadi pendidik berwibawa.

Disediakan oleh:
Pengerusi Rancangan Latihan Mengajar & Praktikum
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM