Projek Kompos Komuniti: Mengubah Sisa Dapur Menjadi Baja Organik
10 & 12 Januari 2025 - Projek Kompos Komuniti adalah sebuah inisiatif inovatif yang memanfaatkan sisa dapur seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan sisa makanan untuk menghasilkan kompos organik sebagai baja semula jadi. Projek ini bertujuan untuk membangunkan sistem pengkomposan sisa dapur yang boleh diimplementasi di kawasan perumahan dan sekolah. Selain itu, ia bertujuan mengurangkan jumlah sisa dapur yang dibuang ke saluran perparitan dan tapak pembuangan sampah. Hasil baja organik ini bukan sahaja boleh digunakan untuk pertanian bandar, tetapi juga untuk memperindah landskap di kawasan perumahan dan sekolah.
Dua program utama telah dirancang untuk merealisasikan objektif ini. Program pertama berlangsung pada 10 Januari 2025 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti, Tasek Gelugor. Ia melibatkan pelajar dan guru sekolah yang diberi pendedahan mengenai teknik pengkomposan sisa dapur yang mudah, selamat, dan praktikal. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran warga sekolah tentang pentingnya pengurusan sisa yang mampan dan peranannya dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
Program kedua pula dijalankan pada 12 Januari 2025 di Surau Taman Sepadu, Tasek Gelugor, bersama komuniti setempat. Melalui program ini, penduduk diberi penerangan tentang teknik pengkomposan yang efektif serta kaedah memanfaatkan baja organik yang dihasilkan untuk keperluan pertanian kecil-kecilan di kawasan perumahan. Selain itu, sesi perkongsian pengalaman oleh komuniti yang telah berjaya menghasilkan baja kompos daripada sisa dapur turut diadakan. Sesi ini menyediakan maklumat berguna dan tips praktikal kepada peserta untuk memulakan proses pengkomposan sendiri.
Projek ini bukan sekadar menyebarkan maklumat, tetapi juga berusaha melibatkan komuniti secara aktif dalam pengurusan sisa yang mampan. Dengan mendidik dan memberi alat kepada masyarakat, projek ini menggalakkan tindakan proaktif untuk memelihara sumber semula jadi dan meningkatkan kesedaran terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar. Projek Kompos Komuniti ini adalah langkah kecil yang berpotensi memberikan impak besar dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar dan melibatkan masyarakat secara aktif ke arah pembangunan mampan.