Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

EcoSERI – Transformasi Minyak Masak Terpakai untuk Kelestarian

19 Ogos 2024 - Program EcoSERI bertujuan mengubah minyak masak terpakai menjadi produk sabun yang bernilai tambah, selaras dengan matlamat kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti, dan penjanaan pendapatan sampingan. Program ini dirangka untuk melibatkan 14 sekolah dan 32 komuniti di daerah Kuala Muda/Yan, Kedah, dengan sokongan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda/Yan serta penaja utama, Murtadha Dakwah Centre (MADAD).

Program induk yang telah berlangsung di Dewan MADAD, Kedah ini menampilkan sesi taklimat, demonstrasi pembuatan sabun, dan latihan praktikal kepada guru, pelajar, dan ahli komuniti. Minyak masak terpakai yang selama ini dibuang atau dijual tanpa nilai tambah kini diolah menjadi sabun pembersih dapur melalui teknik saponifikasi. Proses ini menggunakan bahan selamat dan menekankan inovasi dalam penghasilan produk mesra alam.

Objektif utama program ini ialah:

  1. Meningkatkan kesedaran komuniti tentang kepentingan kelestarian alam sekitar melalui kitar semula.
  2. Melahirkan komuniti kreatif dengan kemahiran menghasilkan produk bernilai tambah.
  3. Menjana sumber pendapatan sampingan melalui penjualan sabun yang dihasilkan.
  4. Mengurangkan pembaziran minyak masak terpakai, sekali gus memelihara alam sekitar.

Kaedah pelaksanaan melibatkan latihan, sesi demonstrasi, dan aktiviti praktikal yang dipantau oleh pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pihak komuniti juga mendapat akses kepada makmal dan peralatan yang disediakan oleh MADAD. Hasil program diharap mampu meningkatkan kesedaran kelestarian alam sekitar, membina kemahiran baharu, serta menyumbang kepada pendapatan tambahan bagi komuniti yang terlibat.

Dengan jangka masa pelaksanaan selama tujuh bulan (Mei hingga Disember 2024), program ini dijangka menjadi model projek kelestarian yang inovatif dan berkesan, menyumbang kepada matlamat pembangunan mampan seperti Responsible Consumption and Production (SDG 12) dan Decent Work and Economic Growth (SDG 8).