Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

Pendidikan Perubahan Iklim Bersama Guru dan Pelajar di Daerah Larut Matang Selama

27 Oktober 2023 hingga 26 Ogos 2024 - Satu siri bengkel pendidikan perubahan iklim telah diadakan di tiga buah sekolah di Daerah Larut Matang Selama. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah SMK King Edward Taiping, SMK Simpang Taiping, dan SMK Kampung Jambu. Keseluruhan penyertaan merangkumi 73 orang guru dan 220 orang pelajar.

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan penggunaan Augmented Reality (AR) dalam pengajaran dan pembelajaran mengenai perubahan iklim. Dengan memanfaatkan teknologi AR, bengkel ini bertujuan untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan mendalam dalam memahami isu perubahan iklim.

Bengkel-bengkel ini dikendalikan oleh Profesor Dr. Mageswary Karpudewan, seorang pakar dalam bidang pendidikan dan kimia hijau, beliau telah memberikan pendedahan kepada peserta mengenai aplikasi AR yang inovatif. Melalui sesi ini, guru-guru dan pelajar didedahkan kepada cara-cara menggunakan AR untuk menerangkan konsep-konsep perubahan iklim dengan lebih visual dan menarik.

Prof. Dr. Mageswary Karpudewan juga berkongsi teknik-teknik pengajaran yang berkesan menggunakan AR, serta strategi untuk mengintegrasikan teknologi ini dalam kurikulum sekolah. Pendekatan ini diharap dapat meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai perubahan iklim, serta mendorong pelajar untuk terlibat secara aktif dalam usaha-usaha kelestarian.

Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak, program ini diharapkan dapat memberikan impak yang positif kepada pendidikan perubahan iklim di daerah tersebut, serta memotivasi komuniti sekolah untuk menyokong dan melaksanakan tindakan-tindakan berkaitan perubahan iklim dengan lebih efektif.