Kunjungan CDAE ke PPIP, USM
22 Januari 2025 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM), telah menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (CDAE), Prof. Madya Muhammad Saiful Bahri Yusoff, bersama barisan pegawai kanan CDAE.
Dalam sesi tersebut, Prof. Madya Muhammad Saiful memperkenalkan Strategic Directions & Actions Synergized CDAE, iaitu hala tuju dan inisiatif strategik untuk memacu pembangunan bakat akademik berdasarkan konsep ‘Penyemarakkan Agenda APEX USM’ secara sinergi bersama pihak berkepentingan.
Beliau turut mengetengahkan PDP Scholar Program, sebuah program pembangunan profesional yang melibatkan beberapa tahap: PDP Scholar, PSP Scholar Trainer, PDP Scholar Coach, dan PDP Scholar Otai.
Selain itu, Prof. Madya Muhammad Saiful juga telah mengupas tentang inisiatif Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran bertujuan menginspirasi inovasi pendidik untuk mengubah landskap pendidikan. Inisiatif ini memberi penekanan kepada peningkatan hasil pembelajaran serta menyokong kebolehpasaran generasi akan datang. Program-program menggalakkan inovasi ini termasuk Reimagine Education, Educhamp Challenge, Inovasi Produk, MOOC Challenge (pembangunan MOOC USM), dan MC Challenge (pembangunan Micro-Credential USM).
Beliau turut menggalakkan staf akademik PPIP agar lebih proaktif dalam menyertai dan memanfaatkan peluang yang ditawarkan melalui program-program ini untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan inovasi pendidikan di USM.
Penglibatan aktif dalam inisiatif seperti ini diharapkan dapat memperkukuhkan kerjasama antara PPIP dan CDAE dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan dan menyokong agenda pembangunan universiti ke arah masa depan yang lebih gemilang.