13th International Students’ Colloquium 2026 Perkukuh Kerjasama Global dan Agenda SDG di USM
2 Mac 2026 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan 13th International Students’ Colloquium 2026 yang bermula pada 1 Mac lalu di Kampus Induk USM.
Program selama enam hari ini menghimpunkan 28 orang pelajar dari PPIP USM, Hiroshima University, dan Universitas Pendidikan Indonesia. Kolokium ini memberi ruang kepada pelajar untuk berkongsi idea, menjalankan pembentangan kumpulan serta memahami kepelbagaian budaya dalam suasana pembelajaran antarabangsa.
Dekan PPIP, Rahimi Che Aman berkata, program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara institusi, malah membantu melahirkan pelajar yang lebih terbuka dan berdaya saing di peringkat global.
Penganjuran kolokium ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, dengan menyediakan platform pembelajaran yang inklusif dan berimpak global. Melalui interaksi rentas negara, pelajar didedahkan kepada perspektif antarabangsa yang dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kefahaman antara budaya.
Selain itu, program ini juga menyumbang kepada SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat apabila tiga institusi pendidikan tinggi bekerjasama dalam merancang dan melaksanakan aktiviti secara bersama. Jaringan strategik ini memperkukuh hubungan akademik serta membuka peluang kolaborasi berterusan pada masa hadapan.
Inisiatif seperti ini mencerminkan komitmen USM dalam memperkasakan pendidikan global dan melahirkan graduan yang peka terhadap isu kelestarian serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat sejagat.