KEMBARA ILMIAH ALUMNI PELAJAR BERSAMA JPP & PELAJAR OKU KOLEJ MATRIKULASI KEDAH SESI 2025/2026
6 Februari 2026 - Program Kembara Ilmiah Alumni Pelajar dianjurkan bagi memberi motivasi dan pendedahan awal kepada pelajar mengenai suasana pembelajaran di universiti. Program ini selaras dengan SDG 4: Pendidikan Berkualiti, yang menekankan akses pendidikan inklusif dan saksama untuk semua.
Anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) ini memberi peluang khususnya kepada pelajar OKU dan asnaf untuk merasai pengalaman awal kehidupan kampus di Universiti Sains Malaysia (USM), sejajar dengan SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan.
Lawatan ini diiringi oleh Encik Mohd Syafiq bin Ghazali dan Puan Rosmaniza binti Ibrahim selaku Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar. Seramai 20 ahli JPP, 8 pelajar asnaf dan 7 pelajar OKU telah menyertai program ini.
Ketibaan rombongan disambut oleh Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) bersama Persatuan Ilmu Pendidikan (PIP). Antara pengisian utama ialah sesi motivasi dan perkongsian mengenai kepentingan kecemerlangan akademik serta perancangan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Program ini juga mencerminkan semangat kerjasama antara institusi selaras dengan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.
Diharapkan program ini menjadi pengalaman bermakna dan sumber inspirasi kepada para pelajar dalam merancang masa depan pendidikan yang lebih cemerlang dan mampan.