USM dan UMM Perkukuh Kolaborasi Rentas Sempadan melalui ASEAN Conference on Psychology, Counselling, and Humanities (AC-PCH 7)
PULAU PINANG, 16 Oktober 2025 - Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan jayanya telah menganjurkan satu Persidangan yang diadakan dengan kerjasama oleh Fakulti Psikologi, Universitas Muhammadiyah Malang (UMM), Indonesia iaitu ‘ASEAN Conference on Psychology, Counselling, and Humanities (AC-PCH 7)’ dengan tema ‘Bridging Cultures in Psychological and Counselling Services: Collaborative Insights from Indonesia and Malaysia for Mental Health and Sustainable Future’s.
Persidangan ini menjadi platform akademik dan profesional bagi para sarjana, penyelidik serta pengamal bidang psikologi dan kaunseling untuk berkongsi pengetahuan, amalan serta kajian kes dalam konteks budaya yang pelbagai. Persidangan ini juga menekankan peranan penting perkhidmatan psikologi dan kaunseling sebagai tonggak utama dalam mempromosikan kesihatan mental dan kesejahteraan masyarakat. Selaras dengan United Nations Sustainable Development Goals (SDGs), SDG 3 (Good Health and Well-Being) & SDG 4 (Quality Education), perbincangan turut memberi tumpuan kepada bagaimana pendekatan berasaskan budaya dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lestari dan berdaya tahan.
Delegasi dari UMM diketuai oleh 2 orang pensyarah dari Fakulti Psikologi, UMM iaitu Devina Andriany, S.Psi.,(Psikologi) dan Muhammad Fath Mashuri, S.Psi., M.A, bersama 27 orang peserta dan 10 orang pembentang dari Fakulti Psikologi, UMM. Persidangan ini menghimpunkan para akademik dan profesional dari kedua-dua negara bagi bertukar pandangan serta memperkukuh kefahaman terhadap amalan psikologi dan kaunseling dalam konteks budaya yang berbeza.
Selain itu, seramai 11 orang pelajar Program Sarjana dan PhD Kaunseling dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM turut mengambil bahagian sebagai pembentang dalam sidang selari dengan mempersembahkan hasil penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang kaunseling serta kesihatan mental. Penglibatan aktif pelajar pascasiswazah ini bukan sahaja memperkayakan wacana akademik, malah mencerminkan komitmen USM dalam melahirkan penyelidik dan kaunselor profesional yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Dalam ucapan alu-aluan dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), USM iaitu Prof Madya Dr Rahimi Che Aman turut menegaskan kepentingan memperkukuh kolaborasi serantau dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan mental dalam melahirkan profesional yang peka terhadap kepelbagaian budaya serta beriltizam untuk membina masa depan yang baik.Penganjuran AC-PCH 7 ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam jalinan kerjasama strategik antara USM dan UMM, sekali gus memperkukuh peranan kedua-dua institusi dalam memajukan ilmu pengetahuan, meningkatkan kompetensi profesional dan membina jambatan kerjasama rentas budaya di rantau ASEAN.
Melalui pembentangan oleh Keynote 1 iaitu Associate Professor Dr. Nor Shafrin Ahmad yang merupakan Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia telah membentangkan tajuk “The RPSD Model and M-RPSD App: Bridging Culture and Digital Innovation for Sustainable Mental Well-being”. Pembentangan beliau menekankan kepentingan menggabungkan elemen budaya tempatan dengan inovasi digital dalam usaha memperkukuh kesejahteraan mental. Model RPSD dan aplikasi M-RPSD yang diperkenalkan bukan sahaja memperlihatkan integrasi antara teori kaunseling dan teknologi, tetapi juga membuktikan potensi transformasi digital dalam bidang kesihatan mental di Malaysia.
Keynote kedua pula oleh Puan Devina Andriany, pensyarah dari Universitas Muhammadiyah Malang (UMM) telah menyampaikan pembentangan bertajuk “Advancing Psychological Services in Indonesia: Cultural Sensitivity and Sustainable Mental Health Practices.” Pembentangan ini memberi tumpuan kepada keperluan memahami konteks budaya dalam penyampaian perkhidmatan psikologi di Indonesia. Beliau menekankan bahawa pendekatan yang sensitif terhadap budaya setempat mampu meningkatkan keberkesanan intervensi dan memastikan kesejahteraan mental yang mampan. Huraian beliau turut membuka ruang perbincangan mengenai cabaran dan strategi dalam menyeimbangkan antara nilai budaya, etika profesional, dan amalan moden dalam perkhidmatan kesihatan mental.