Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

Program Kecemerlangan Mega SPM 2025: Kolaborasi Membentuk Kecemerlangan

11 Oktober 2025 - Program Kecemerlangan Mega Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 telah berjaya dilaksanakan di Dewan Kuliah E48 (A & B) kampus induk Universiti Sains Malaysia. Program ini merupakan inisiatif kolaboratif antara Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (SMKTBM).

Seramai 229 orang pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada bulan November nanti telah menyertai program ini. Program ini dirangka khas bagi membantu pelajar memantapkan penguasaan akademik dalam pelbagai subjek melalui sesi ulang kaji intensif, teknik menjawab soalan, serta motivasi akademik, dengan bimbingan daripada guru pakar dan pemeriksa kertas yang berpengalaman.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Prof. Madya Dr. Rahimi binti Che Aman turut hadir bagi menyuntik semangat kepada para pelajar melalui amanat dan kata-kata motivasi yang penuh inspirasi. Menurut PM Dr. Rahimi, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan komited untuk meneruskan program ini bagi tahun yang ke-2 memandangkan impak yang sangat memberangsangkan pada tahun sebelumnya. Justeru, beliau berharap para pelajar dapat mengambil peluang ini untuk membuktikan kesungguhan mereka menghadapi SPM nanti.

Menariknya, program ini turut melibatkan 10 orang mahasiswa dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan yang bertindak sebagai fasilitator program bagi memastikan kelancaran program. Para pelajar juga berpeluang merasai pengalaman pembelajaran di persekitaran kampus USM, menggunakan kemudahan seperti dewan kuliah, masjid universiti, bilik interaksi, dan melawat sekitar kampus – memberi mereka gambaran sebenar kehidupan sebagai mahasiswa.
Majlis penutup telah dirasmikan oleh Dr. Sazani bin Shafei, Pengarah Global Distribution Hub & Logistics Broadcom Inc. yang juga terlibat dalam PIBG sekolah. Kehadiran para ibu bapa dan waris pelajar sekitar 400 orang menggamitkan suasana dan mencerminkan sokongan mereka terhadap usaha berterusan pihak sekolah dan PPIP, USM.

Semoga segala usaha, masa dan komitmen yang dicurahkan dalam Program Kecemerlangan Mega SPM ini akan membuahkan kejayaan cemerlang dalam SPM 2025 kelak. Kepada putera dan puteri BM High School; “Teruskan berusaha dan jangan berhenti bermimpi!” Kami di PPIP USM sentiasa mendoakan kejayaan anda semua.