19 Mei 2025 – Jawatan Kuasa Kelestarian Hijau PPIP dengan kerjasama Persatuan Ilmu Pendidikan (PIP) telah melancarkan program pengumpulan pakaian “Busana Kasih Guru” bermula 19 hingga 23 Mei 2025.
Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada staf dan pelajar yang telah menyumbangkan pakaian “pre-loved” seperti baju kurung, kemeja, seluar slack dan pakaian formal yang masih elok dipakai. Sokongan ini mencerminkan keprihatinan warga kampus terhadap kelestarian dan kesejahteraan komuniti.
Menurut pihak penganjur, program ini diharap dapat memberi peluang kepada pelajar mendapatkan pakaian sesuai mengikut keperluan mereka di samping memupuk budaya kitar semula dan mengurangkan pembaziran tekstil.
Pengumpulan pakaian berlangsung setiap hari sepanjang program berlangsung dari jam 1.00 hingga 2.00 petang di Bilik Persatuan Ilmu Pendidikan, PPIP, dan terbuka kepada semua pelajar USM.
Melalui inisiatif seperti ini, jelas bahawa PPIP bertekad memperkukuh nilai kelestarian, semangat perkongsian dan budaya saling membantu dalam kalangan warga universiti.