PROGRAM MOTIVASI DAN TIPS SPM BAGI PELAJAR SMT BUKIT MERTAJAM
25 November 2024 – Program motivasi dan tips menjawab soalan SPM anjuran bersama Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM) telah diadakan dengan jayanya di Dewan Pembangunan Siswa 1 & 2, KOMCA, USM.
Program yang mendapat tajaan dan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ini melibatkan penyertaan seramai 252 pelajar Tingkatan 5 serta 7 orang guru pengiring. Program sehari di kampus USM ini dimanfaatkan dengan sebaiknya dengan menjemput barisan guru-guru pakar berkongsi panduan dan tips bersama pelajar. Sesi tips menjawab soalan SPM telah dikendalikan oleh 9 orang guru pakar dalam setiap subjek. Mereka memberikan panduan praktikal dan teknik terbaik untuk pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih fokus dan berkesan.
Selain itu, sesi motivasi yang disampaikan oleh Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah bersama pasukan fasilitator PPIP berjaya menyemarakkan semangat pelajar untuk menghadapi SPM dengan penuh yakin. Lebih menarik, pelajar turut diberi inspirasi tentang perjalanan pendidikan ke peringkat universiti melalui lawatan khas ke tapak konvokesyen USM, memberikan gambaran jelas tentang matlamat dan pencapaian mereka pada masa depan. Seramai 20 fasilitator dalam kalangan pelajar PPIP telah membantu program ini berlangsung dengan jayanya.
Sesi penutup program ini telah disempurnakan oleh Dekan PPIP, Prof. Madya Dr. Rahimi Che Aman yang turut dihadiri oleh Kumpulan Sarana Ibu Bapa dan sebahagian besar ibu bapa pelajar. Program ini mendapat maklum balas yang sangat positif daripada pelajar, guru dan ibu bapa, yang menyifatkannya sebagai langkah proaktif dalam mempersiapkan pelajar bukan sahaja untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi juga dalam mencorak laluan pendidikan yang lebih cerah.