Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

SEMINAR ANTARABANGSA DAN LAWATAN KERJA DELEGASI KOPERASI WANITA ORANG ASLI (KWOA) KE PPIP, USM

22 Februari 2024 – Dalam usaha bersama untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dan keusahawanan Masyarakat orang asli, delegasi daripada Koperasi Wanita Orang Asli (KWOA), Perak telah membuat lawatan kerja ke Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia bagi menghadiri seminar antarabangsa yang bertemakan Kepimpinan Wanita Orang Asli. Panel seminar ini melibatkan lima panel dari negara Pakistan, Indonesia, Australia, Filipina, dan Thailand. Tema seminar ini turut memfokuskan kepada kisah kejayaan wanita orang asal dari golongan yang kurang beruntung di Asia Pasifik yang secara langsung bertujuan untuk berkongsi amalan dan pengalaman kejayaan wanita orang asal di lima negara tersebut.

Diketuai En. Nazri, Tok Batin Kampung Batu 14, Tapah, Perak delegasi telah disambut oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri dan Komuniti PPIP bersama pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak dan Kedah. Program tersebut menjadi platform bagi kedua-dua institusi untuk berkongsi pandangan mengenai pendekatan masing-masing dalam memastikan sifat kepimpinan dan keusahawanan orang asli.

Perbincangan bertumpu pada pelaksanaan langkah-langkah kepimpinan, proses pemasaran produk, dan peranan KWOA dalam meningkatkan profil koperasi orang asli. Semoga perkongsian ini secara kolektif dapat menaikkan standard kecemerlangan kedua-dua institusi.