Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

PENYELIDIK PPIP USM RANGKUL ANUGERAH EMAS DALAM PERTANDINGAN INOVASI KAUNSELING DAN KESEJAHTERAAN ANTARABANGSA

TANJUNG MALIM, 20 Jun 2026 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mengharumkan nama institusi apabila pasukan penyelidiknya berjaya merangkul Gold Award dalam 2nd International Counselling and Wellness Innovation Competition (INNOCARE 2026) yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Kejayaan tersebut dicapai oleh pasukan penyelidikan yang diketuai oleh Dr. Nurul Fazzuan Khalid bersama PM Dr. Nor Shafrin Ahmad, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah dan Pembantu Penyelidik Siswazah, Cik Akrimi Maswa Mohd Sahell menerusi pembentangan inovasi bertajuk SCiR@JERIS Self-Concept Enhancement Model.

Inovasi tersebut merupakan hasil penyelidikan yang dibiayai di bawah Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Projek berkenaan memfokuskan kepada pengukuhan konsep kendiri dalam kalangan remaja FELDA melalui pembangunan sebuah model yang mengintegrasikan Teori Rational Emotive Behaviour Therapy (REBT) dengan lima teras utama Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS).

Menurut pasukan penyelidik, pendekatan inovatif yang diketengahkan menerusi model tersebut bertujuan memperkasa konsep kendiri secara holistik dan seimbang, khususnya dalam kalangan murid yang berhadapan dengan masalah disiplin di sekolah. Model ini diharap dapat menjadi panduan kepada kaunselor, pendidik dan pihak berkepentingan dalam membantu pembangunan sahsiah serta kesejahteraan psikologi remaja.

Selain pembangunan model SCiR@JERIS, pasukan penyelidik turut berjaya menghasilkan Instrumen Konsep Kendiri@JERIS (i-SC@JERIS), iaitu alat ukur yang dibangunkan khusus bagi menilai tahap konsep kendiri dalam kalangan remaja. Instrumen ini berpotensi menjadi sumber rujukan penting dalam penyelidikan dan amalan kaunseling serta pendidikan, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan diri golongan muda.

Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan PPIP USM dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan, kesejahteraan psikologi dan pembentukan modal insan negara.