PROGRAM SULAM “ALGEBRA IN ACTION: DARI SIMBOL KE SITUASI SEBENAR” BERJAYA DILAKSANAKAN DI SMK SRI MUDA PENAGA
13 Jun 2026 (Sabtu) – Program Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) bagi kursus PGT312E Kaedah Mengajar Matematik II telah berlangsung dengan jayanya dan mencapai kemuncaknya pada 13 Jun 2026 di SMK Sri Muda Penaga.
Program yang telah bermula sejak Mac 2026 hingga Jun 2026 ini melibatkan perancangan, pembangunan dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran interaktif berasaskan algebra yang menghubungkan konsep matematik dengan situasi kehidupan sebenar.
Seramai 33 orang murid Tingkatan 2 serta 15 orang guru Matematik SMK Sri Muda Penaga telah menyertai program ini dengan penuh komitmen dan keterlibatan aktif. Program ini turut disokong oleh pelajar Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM), yang bertindak sebagai fasilitator sepanjang pelaksanaan aktiviti.
Antara pengisian utama ialah aktiviti “Algebra in Action: Dari Simbol ke Situasi Sebenar”, yang memberi peluang kepada murid untuk meneroka konsep algebra melalui pendekatan hands-on, kolaboratif dan berasaskan konteks kehidupan harian. Inisiatif ini secara langsung menyokong SDG 4: Quality Education, khususnya dalam memperkukuh akses kepada pembelajaran yang inklusif, berkualiti dan bermakna melalui pengalaman pembelajaran autentik.
Selain itu, program turut diserikan dengan slot perkongsian inovasi Pendidikan Matematik oleh Cikgu Juliana Mohd Yunus, guru Matematik berpengalaman serta penerima tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) bagi pengajian Sarjana. Beliau aktif dalam pelbagai pertandingan inovasi pendidikan, dan perkongsian beliau telah memberi inspirasi kepada guru serta pelajar terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran Matematik yang kreatif, inovatif dan berimpak tinggi.
Program ini juga mencerminkan pelaksanaan SDG 17: Partnerships for the Goals melalui kerjasama strategik antara universiti dan sekolah dalam merealisasikan pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat (SULAM) yang berimpak kepada komuniti pendidikan.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Sri Muda Penaga, Encik Mohamad Zakaria Zain, manakala keseluruhan projek diketuai oleh Dr. Muzirah Musa, Pensyarah Kanan, PPIP USM selaku Pengarah Projek SULAM.
Program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif pembelajaran, malah turut memperkukuh hubungan universiti–sekolah serta memberi pengalaman bermakna kepada fasilitator dalam mengaplikasikan ilmu pedagogi dalam konteks sebenar.
“Algebra bukan sekadar simbol, tetapi bahasa kehidupan sebenar yang dapat difahami melalui pengalaman pembelajaran yang bermakna,” antara intipati utama yang menjadi asas pelaksanaan program ini.
Disediakan oleh:
Dr. Muzirah Musa
Pengarah Projek SULAM /Penyelaras Kursus PGT312E
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM)