Seminar ProKAI Perkasa Kepimpinan AI dan Pendidikan Berkualiti di Pulau Pinang
PULAU PINANG, 14 Mei 2026 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia serta Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan Seminar Kepimpinan AI dalam Pendidikan (ProKAI) di Auditorium Murad Mohd Noor, Sains@USM.
Seminar yang menghimpunkan seramai 81 orang pengetua sekolah dari seluruh negeri Pulau Pinang itu bertujuan memperkukuh kepimpinan sekolah dalam mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) ke arah pendidikan yang lebih inovatif, berkualiti dan lestari selaras dengan aspirasi SDG 4: Pendidikan Berkualiti.
Majlis perasmian seminar telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Rahimi Che Aman. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pengetua perlu menjadi contoh teladan dalam memimpin transformasi pendidikan melalui penggunaan AI secara beretika dan berkesan di sekolah.
Turut menyampaikan ucapan ialah Ustaz Suhaimi bin Othman yang menyifatkan kerjasama antara USM dan MPSM sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkukuh sistem pendidikan negara melalui perkongsian kepakaran dan inovasi pendidikan. Kolaborasi ini turut menyokong aspirasi SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat menerusi jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan pihak sekolah.
Seminar ini dianjurkan di bawah Geran Dana Inovasi Sosial dan Kajian Sosial melalui projek Kepimpinan AI (ProKAI) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Ali Samsudin. Antara pengisian utama seminar termasuk perkongsian berkaitan program dan aktiviti kepimpinan AI, demonstrasi penggunaan Agen AI dalam pembelajaran serta sesi refleksi bersama para pengetua.
Dalam sesi demonstrasi, peserta dipertontonkan penggunaan teknologi Agen AI melalui penglibatan dua orang pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Pelajar Tingkatan 4 menggunakan Agen AI sebagai rakan pembelajaran dan tutor bagi subjek Biologi, manakala pelajar Tingkatan 5 memanfaatkan teknologi tersebut sebagai pembimbing ulang kaji dan pembantu latihan bagi subjek Matematik Tambahan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM.
Pendekatan tersebut menunjukkan bagaimana AI dapat membantu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih fleksibel, responsif dan berpusatkan murid, sekali gus menyokong pembangunan pendidikan yang lebih inklusif dan berdaya saing. Penggunaan inovasi teknologi dalam pendidikan ini juga selari dengan SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur yang menekankan pemerkasaan inovasi dan teknologi dalam pembangunan masyarakat.
Dalam pembentangannya, Prof. Madya Dr. Mohd Ali Samsudin turut mengetengahkan konsep “Revolusi Terkini: Agen AI dalam Pendidikan” dengan menghuraikan tiga peranan utama pengetua dalam pelaksanaan AI di sekolah, iaitu sebagai AI Strategist, AI Decision Maker dan AI Leader. Beliau menegaskan bahawa pengetua yang memahami peranan AI bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi juga arkitek kepada ekosistem pembelajaran yang lebih pintar dan responsif.
Secara keseluruhannya, seminar ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan diharapkan dapat memperkukuh peranan pengetua sebagai pemimpin instruksional dalam mengintegrasikan kecerdasan buatan dalam sistem pendidikan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan pendidikan berkualiti, inovatif dan lestari di Pulau Pinang.