Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

Mahasiswa Tahun 1 PPIP USM Memacu Inovasi Digital, Terajui Kelestarian Bakau di PINANG ’26

24 April 2026 – Enam kumpulan pelajar Semester 1, Tahun Pertama dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencipta impak membanggakan apabila berjaya meraih kedudukan Dua Terbaik (Top 2) dalam kategori Jemputan Luar di Pertandingan Inovasi PINANG ’26 yang berlangsung di IPG Kampus Pulau Pinang.

Delegasi mahasiswa muda USM ini turut mencatat pencapaian cemerlang dengan membawa pulang satu pingat emas dan lima pingat perak, sekali gus mengukuhkan reputasi institusi dalam melahirkan bakal pendidik yang berdaya saing dan inovatif. Berteraskan visi “Future Borderless Learners”, kejayaan ini dipacu melalui pembangunan produk digital mudah alih yang mengangkat tema “Inovasi Pendidikan dalam Ekosistem Bakau”.

Inisiatif ini menyerlahkan keupayaan pelajar dalam mengintegrasikan teknologi pendidikan dengan elemen kelestarian, sejajar dengan aspirasi pendidikan masa hadapan. Melalui inovasi digital yang interaktif dan mudah alih, projek ini memperluas akses kepada pembelajaran berkualiti, sekali gus menyokong agenda SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dengan menyediakan pendekatan pembelajaran yang inklusif dan relevan dengan keperluan generasi masa kini. Dalam masa yang sama, pendekatan kreatif ini turut meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan ekosistem bakau, selari dengan SDG 14 (Hidupan di Bawah Air) melalui usaha memupuk kefahaman tentang pemuliharaan biodiversiti marin dalam kalangan murid sekolah rendah dan masyarakat umum.

Impak inisiatif ini bukan sahaja terhad kepada pencapaian pertandingan, malah berpotensi memberi sumbangan jangka panjang terhadap pembangunan komuniti berpengetahuan dan berdaya lestari. Penggunaan teknologi digital dalam pendidikan alam sekitar membuka ruang kepada pembelajaran berterusan, selain membentuk generasi yang lebih peka terhadap isu perubahan iklim dan pemeliharaan ekosistem.

Kejayaan menduduki tangga teratas dalam kategori jemputan luar ini membuktikan bahawa mahasiswa tahun pertama PPIP USM bukan sahaja celik teknologi, malah memiliki kepekaan tinggi terhadap isu kelestarian alam sekitar. Pencapaian ini sekali lagi mengangkat peranan mahasiswa sebagai agen perubahan yang mampu memacu inovasi pendidikan ke arah masa depan yang lebih lestari.