Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

PPIP Sedia Kepakaran Bantu Jayakan Projek “Sebuah Rumah, Seorang Graduan” di Perkampungan Nelayan, Seberang Takir, Terengganu

8 MAC 2023 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia bersedia membantu dan menjalinkan kerjasama dengan Pejabat ADUN Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu dalam merealisasikan projek “Sebuah Rumah, Seorang Graduan” melalui kepakaran dalam bidang pendidikan. Projek ini diilhamkan oleh YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Razif Abd Rahman, ADUN Seberang Takir yang juga merupakan alumni PPIP, USM. Projek “Sebuah Rumah, Seorang Graduan” bertujuan melahirkan sekurang-kurangnya seorang graduan dalam setiap keluarga di kawasan perkampungan nelayan di Seberang Takir, Terengganu. Rasional projek ini adalah apabila terdapat seorang anak dalam sebuah keluarga yang berjaya ke IPT, maka keadaan keluarga tersebut akan menjadi bertambah baik dan sejahtera kerana anak (graduan) ini akan menjadi sumber rujukan keluarga dalam banyak perkara. Anak (graduan) ini diharapkan mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang mampu membantu diri mereka dan keluarga untuk mencapai tahap kesejahteraan kehidupan yang lebih baik termasuk meningkatkan tahap sosioekonomi keluarga. Justeru, PPIP USM bersetuju menyediakan khidmat kepakaran dalam motivasi pembelajaran bagi membimbing pelajar Pra Universiti (Pra U) menghadapi peperiksaan STPM dan cemerlang dalam pembelajaran mereka.

 

Seramai 140 pelajar Pra U dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Seberang Takir telah dikenal pasti untuk terlibat sebagai kumpulan perintis bagi projek ini. Sehubungan itu, pada 6 hingga 8 Mac 2023 Program Meniti Puncak SMKIF – PPIP USM telah dijalankan di Kampus Induk USM, Pulau Pinang. Program yang bertemakan “Menyerlah Potensi, Membina Masa Depan” memberi peluang kepada kumpulan pelajar Pra U ini untuk merasai pengalaman sebenar berada di kampus universiti melalui konsep campus lifestyle. Pelbagai aktiviti telah dirangka sebagai pengisian program selama 3 hari 2 malam di kampus USM ini. Antara aktiviti yang dijalankan adalah lawatan ke perpustakaan, dewan kuliah, muzium dan sekitar kampus. Manakala sesi motivasi belajar, kemahiran belajar, penetapan matlamat, interaksi bersama mahasiswa dan sesi riadah turut dijalankan. Program ini juga mendapat kerjasama daripada Perkumpulan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) USM. Majlis Penutup telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman. Majlis Penutup turut dihadiri oleh YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Razif Abd Rahman, ADUN Seberang Takir serta Dekan PPIP, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman. Turut hadir bersama adalah Pengetua SMK Ibrahim Fikri, Puan Zainon Awang dan Penyelaras Program Meniti Puncak, Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah. Dalam majlis yang sama, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani bersama oleh Dekan PPIP USM, YB ADUN Seberang Takir dan SMK Ibrahim Fikri sebagai persetujuan ketiga-tiga pihak menjayakan projek “Sebuah Rumah, Seorang Graduan”. Profesor Dr. Azlinda dalam ucapannya memuji dan menghargai sumbangan alumni USM dalam memainkan peranan yang aktif menghubungkan komuniti dan universiti. Beliau juga mengharapkan projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar Pra U dan pihak sekolah, tetapi juga memberi peluang kepada mahasiswa USM menyerlahkan potensi dan kepimpinan mereka melalui penglibatan di dalam program seperti ini secara aktif.