Pada 9 hingga 11 Disember 2025, seramai 119 orang pelajar Kursus Kaedah Mengajar Bahasa Malaysia I telah berjaya melaksanakan Modul Keseronokan Membaca Bahasa Melayu 2.0 di Pekarangan DK Foyer, Universiti Sains Malaysia (USM).
Program ini melibatkan sebanyak 39 reruai interaktif yang menyediakan pelbagai bahan bacaan kreatif serta aktiviti membaca yang menyeronokkan. Menariknya, kesemua bahan dan aktiviti tersebut berteraskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan, sekali gus menyemai budaya membaca sambil meningkatkan kesedaran terhadap isu kelestarian global.
Dengan mengangkat tema “Dengan Membaca, Kita Berwibawa”, program ini berjaya menarik penyertaan ratusan peserta dalam kalangan mahasiswa Universiti Sains Malaysia. Hal ini membuktikan bahawa budaya membaca boleh diperkasa melalui pendekatan yang kreatif, interaktif dan bermakna.