PPIP USM ANJUR BENGKEL BAHASA ISYARAT 2.0, PERKASA KEMAHIRAN BAKAL GURU PENDIDIKAN KHAS
PULAU PINANG, 29 Jun 2025 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Bengkel Bahasa Isyarat 2.0 di Dewan Persidangan Babjee dengan penyertaan seramai 45 orang pelajar Pendidikan Khas.
Bengkel yang diketuai oleh Dr. Murugesu A/L Supermaniam ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam penggunaan bahasa isyarat sebagai persediaan menghadapi Latihan Mengajar (LM).
Sepanjang program, peserta mengikuti sesi mikro pengajaran (microteaching), perkongsian pengalaman oleh pelajar Tahun 3 Pendidikan Khas, serta mempelajari asas American Sign Language (ASL) dan Signing Exact English (SEE) yang digunakan dalam komunikasi dengan individu bermasalah pendengaran.
Program ini berjaya memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan bahasa isyarat di sekolah serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif. Selain itu, sekretariat penganjur turut memperoleh pengalaman dalam aspek kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan sepanjang mengendalikan program.
Diharapkan bengkel seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan tempoh pelaksanaan yang lebih panjang dan lebih banyak slot perkongsian bagi memperkukuh kemahiran bakal guru Pendidikan Khas.