PPIP Sports Festival 2026 Berjaya Pupuk Keseimbangan Holistik dan Kesatuan Bakal Pendidik USM
USM, PULAU PINANG, 26 Jun 2026 – Berslogankan ‘Legasi Guru Juara’ dan berteraskan semangat kesukanan dan perpaduan yang utuh, penganjuran julung kalinya bagi PPIP Sports Festival 2026 telah berjaya menghimpunkan hampir 300 orang mahasiswa dan barisan staf Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM). Berlangsung meriah selama tiga hari dan melabuhkan tirainya pada 21 Jun 2026, kejohanan ini menjadi medan terbaik dalam mengasah kepimpinan serta kerjasama berpasukan dalam kalangan bakal warga pendidik.
Kejohanan peringkat pusat pengajian ini mempertandingkan enam acara utama yang merangkumi kekuatan fizikal dan taktikal, antaranya bola sepak, badminton, serta e-sukan. Melalui kepelbagaian acara yang dianjurkan, para peserta bukan sahaja dirangsang untuk mengamalkan gaya hidup aktif, malah berpeluang untuk membina sahsiah positif, memupuk disiplin diri dan menyemai semangat daya saing yang sihat.
Majlis penutupan kejohanan telah disempurnakan dengan jayanya oleh Timbalan Dekan Akademik PPIP, Dr. Siti Zuraidah Md Osman. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa keseimbangan antara kecemerlangan akademik, fizikal, dan mental merupakan elemen penting dalam melahirkan modal insan serta guru yang holistik sebelum mereka melangkah ke alam kerjaya perguruan yang sebenar.
Pengarah Projek PPIP Sports Festival 2026, Mazidul Aiman bin Mohamad Zamili, turut merakamkan penghargaan yang tinggi kepada semua pihak yang terlibat. Beliau menekankan bahawa program ini merupakan satu dasar penting untuk mengeratkan silaturahim dan membina keyakinan diri mahasiswa. Kelancaran acara ini turut didorong oleh komitmen padu serta penyelarasan pentadbiran yang cemerlang daripada barisan urusetia dan seluruh ahli jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus merancang program dari awal hingga akhir.
Kemuncak kejohanan menyaksikan kontinjen atlet daripada Tahun 2 mempamerkan aksi cemerlang dan konsisten untuk dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan PPIP Sports Festival 2026.
Diharapkan agar PPIP Sports Festival ini dapat diteruskan sebagai acara kelaziman pada masa hadapan yang terus memberi manfaat, menyemarakkan lagi semangat kesukanan dan meninggalkan kenangan indah buat seluruh warga PPIP USM. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta dan penganjur!