LAWATAN AKADEMIK KURSUS PPK 222 KEMAHIRAN VOKASIONAL DALAM PENDIDIKAN KHAS DI SMPKV MERBOK
18 Jun 2026 (Khamis) - Seramai 60 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas bersama seorang pensyarah pengiring Dr Nur Amalina Samsudin dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya mengadakan lawatan akademik ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Merbok, Kedah. Lawatan berimpak tinggi ini dianjurkan khusus di bawah kursus PPK 222 Kemahiran Vokasional dalam Pendidikan Khas bagi memberikan pendedahan secara langsung kepada para pelajar mengenai realiti pengajaran di lapangan. Antara pengisian utama program sepanjang lawatan ini termasuklah sesi taklimat khas mengenai Pelaksanaan Program Transisi Kerjaya (PTK) dan amalan semasa dalam pengurusan Latihan Vokasional Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang disampaikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum serta lawatan ke setiap bengkel. Selain itu, majlis turut diserikan lagi dengan acara pertukaran cenderahati dan sesi bergambar sebagai tanda jalinan kerjasama erat antara pihak universiti dan sekolah.
Ini merupakan kali pertama pelajar Pendidikan Khas PPIP ke SMPKV Merbok untuk melihat sendiri bagaimana Pendidikan Vokasional Spesifik dijalankan di VOMER. Rombongan USM bertuah kerana peluang ini membolehkan mereka melawat ke bengkel-bengkel kemahiran yang dikendalikan oleh guru-guru bertugas, di mana terdapat 11 jenis bidang kemahiran yang ditawarkan di sekolah ini untuk melatih para pelajar MBPK. Pengalaman melalui pemerhatian langsung di setiap bengkel kemahiran seumpama ini bukan sahaja menyokong pembangunan akademik, malah memberi impak yang sangat positif kepada persediaan bakal guru Pendidikan Khas USM sebelum melangkah ke alam kerjaya sebenar.
Terima kasih pihak sekolah atas kerjasama dan layanan baik yang diberikan kepada seluruh warga PPIP USM sepanjang program ini berlangsung. InsyaAllah, melihat kepada faedah dan pengisiannya yang sangat bermakna, lawatan akademik ini bakal menjadi program wajib kursus ini selepas ini.