Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

USM DAN UNIVERSITAS SILIWANGI MEMETERAI MoA PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK SERANTAU

PULAU PINANG, 18 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universitas Siliwangi, Indonesia, sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar dan pensyarah, serta pembangunan pendidikan di peringkat serantau.

Majlis penandatanganan yang berlangsung di USM itu menandakan komitmen kedua-dua institusi dalam memperluas jaringan antarabangsa dan memperkukuh hubungan pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia.

Bagi pihak USM, Memorandum Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni yang mewakili Naib Canselor USM, manakala pihak Universitas Siliwangi diwakili oleh Dr. Nani Ratnaningsih, Dekan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Siliwangi, Indonesia.

Melalui perjanjian ini, kedua-dua universiti akan meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang merangkumi pertukaran pelajar dan staf akademik, pelaksanaan program bersama, penyelidikan kolaboratif, penerbitan ilmiah, serta penganjuran aktiviti akademik dan profesional yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Kerjasama ini juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada warga akademik dan pelajar untuk memperoleh pengalaman antarabangsa, memperluas perkongsian ilmu, serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan yang lebih mampan dan inklusif di rantau ASEAN.

Pemeteraian Memorandum Perjanjian ini merupakan hasil usaha dan inisiatif Profesor Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM, dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa dan mengukuhkan hubungan akademik antara USM dan Universitas Siliwangi.

Majlis tersebut mencerminkan aspirasi bersama USM dan Universitas Siliwangi untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik melalui kerjasama strategik yang mampu memberi impak positif kepada komuniti pendidikan di kedua-dua negara.