Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

PIP USM Jayakan Program Khidmat Komuniti 3.0 untuk Memperkukuh Pendidikan STEM dan Kepimpinan Pelajar

PARIT BUNTAR, 14 Jun 2026 – Bertemakan pemerkasaan literasi STEM serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, Program Khidmat Komuniti 3.0 anjuran Persatuan Ilmu Pendidikan (PIP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berlangsung dengan jayanya di SMK Sri Perak, Parit Buntar pada 13 hingga 14 Jun 2026. Program selama dua hari satu malam ini menghimpunkan pelajar sekolah, warga pendidik dan mahasiswa USM dalam pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, kepimpinan dan kesukarelawanan.

Program ini memberi fokus kepada pembangunan kemahiran insaniah pelajar melalui aktiviti berasaskan STEM, pemikiran kritis dan kerja berpasukan yang berpandukan subtema Kelestarian, Kesukarelawanan, Kepimpinan dan Inovasi. Penganjurannya turut menyokong SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat) melalui kerjasama antara universiti, pihak sekolah dan komuniti setempat.

Turut hadir memeriahkan majlis penutupan ialah Pengetua SMK Sri Perak, Tuan Abd Wahid bin Shafihee selaku perasmi majlis penutupan, Penasihat 1 Persatuan Ilmu Pendidikan USM, Dr. Nurul Fazzuan bin Khalid, barisan pentadbir sekolah, warga pendidik serta ahli jawatankuasa pelaksana program.

Dalam ucapannya, Tuan Abd Wahid menyeru para pelajar agar memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program bagi meningkatkan minat terhadap bidang STEM, di samping membentuk sahsiah positif, keyakinan diri dan semangat kerja berpasukan.

Program ini turut diserikan dengan Slot Sharing Bersama Penasihat yang disampaikan oleh Dr. Nurul Fazzuan bin Khalid. Beliau menekankan kepentingan pemikiran kritis, sikap proaktif dan pembelajaran sepanjang hayat dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan dan kerjaya masa kini.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif yang menekankan kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti, komunikasi dan kepimpinan. Aktiviti yang dijalankan turut menerapkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

Sree Sharwina a/p Ganesan selaku Pengarah Projek merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah, guru-guru dan semua pihak yang telah menjayakan program tersebut. Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah.

Justeru, Program Khidmat Komuniti 3.0 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam memperkasa literasi STEM, membentuk sahsiah pelajar serta memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan bermakna.