EDUCONNECT USM × UUM MEMPERKASA BAKAL PENDIDIK
SINTOK, KEDAH, 6 Jun 2026 – Seramai 40 pelajar pendidikan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program EDUCONNECT USM × UUM yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia baru-baru ini.
Program yang dianjurkan oleh Persatuan Ilmu Pendidikan (PIP) USM dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Pendidikan UUM ini bertujuan memperkukuh hubungan antara pelajar pendidikan kedua-dua institusi, di samping menyediakan ruang untuk perkongsian idea, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan.
Sepanjang program berlangsung, peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti yang dirangka bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan. Antara pengisian utama termasuk sesi EDU-LEAD (Student Leadership & Organisation Sharing), lawatan akademik, pertandingan Bahan Bantu Mengajar (BBM) serta EDU-INNOVATION PITCH, yang memberi peluang kepada peserta mengetengahkan idea dan inovasi pendidikan secara kreatif.
Selain itu, program ini turut membuka peluang kepada peserta untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai cabaran semasa serta perkembangan terkini dalam bidang pendidikan. Interaksi yang terjalin sepanjang program bukan sahaja memperluas jaringan akademik, malah mengukuhkan semangat kerjasama dan kolaborasi antara pelajar pendidikan dari kedua-dua universiti.
Menurut Pengarah Program, Nurul Ain Zulaikha, penganjuran program seperti EDUCONNECT mampu melahirkan bakal pendidik yang berdaya saing, mempunyai pemikiran kritis serta bersedia memainkan peranan dalam memajukan sektor pendidikan negara.
Program ini mencerminkan komitmen kedua-dua universiti dalam memperkasakan pembangunan pelajar melalui aktiviti berimpak tinggi yang menggabungkan elemen akademik, kepimpinan dan inovasi.
Foto: Persatuan Ilmu Pendidikan (PIP) USM