Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

Program Pecutan Akhir SPM 2026 Perkasa Calon SPM di Kampus USM

Pulau Pinang, 5 September 2026 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Yayasan Komuniti Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah (PPD SPT) telah menganjurkan Program Pecutan Akhir SPM 2026: “Misi A+ Penang – Membina Juara, Melakar Masa Depan” pada 4 dan 5 September 2026 di Kampus USM.

Program ini menghimpunkan 80 orang calon SPM 2026 daripada 15 buah sekolah terpilih di Pulau Pinang, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan motivasi, kemahiran pembelajaran dan persediaan menghadapi peperiksaan.

Antara pengisian utama ialah sesi motivasi, bengkel strategi pembelajaran serta klinik akademik dan teknik menjawab SPM yang dikendalikan oleh penceramah dan tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang subjek berkaitan. Sesi ini melibatkan lima subjek utama iaitu Sejarah, Bahasa Inggeris, Geografi, Sains Am dan Matematik Moden.

Para peserta turut berpeluang meneroka kampus dan menginap di dalam Kampus USM, di samping mengikuti sesi perkongsian bersama mahasiswa USM. Pengalaman ini memberi pendedahan kepada peserta tentang kehidupan di universiti serta menyemai aspirasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Penglibatan mahasiswa USM sebagai fasilitator turut memberi peluang kepada peserta mendapatkan bimbingan dan sokongan sepanjang program.

PPIP berperanan menyelaras aspek akademik dan pelaksanaan program dengan penglibatan pensyarah, tenaga pengajar serta mahasiswa USM. Program ini mencerminkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, agensi pendidikan dan komuniti dalam menyokong pembangunan potensi calon SPM.

Inisiatif ini selari dengan SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan sokongan pembelajaran dan pembangunan potensi murid, serta SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan melalui usaha memperluas peluang sokongan pendidikan.

Program diakhiri dengan sesi refleksi dan Aku Janji Misi A+, sebagai dorongan kepada peserta untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik dalam menghadapi SPM 2026.