Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

Program Advokasi Penjagaan OKU Autisme Negeri Pulau Pinang 2026 Perkukuh Kesedaran dan Sokongan Inklusif

BUKIT JAMBUL, 1 Ogos 2026 – Program Advokasi Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 bertemakan “Kenali Autisme, Sokongi Inklusi” berjaya dilaksanakan di Sains@USM, Bukit Jambul melalui kolaborasi antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM).

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Harina binti Ayob, Ketua Penolong Pengarah, JKM Negeri Pulau Pinang, manakala ucapan aluan disampaikan oleh Ts. Dr. Rozniza Zaharudin, Pengerusi Rancangan Program Pendidikan Khas, PPIP USM.

Program ini menghimpunkan ibu bapa, penjaga, guru, profesional, wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta anggota masyarakat bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai autisme, di samping memperkukuh sokongan terhadap individu autisme dan keluarga mereka.

Pelbagai pengisian telah disediakan sepanjang program, termasuk ceramah pakar, forum perkongsian, bengkel interaktif serta pameran oleh agensi dan organisasi berkaitan autisme. Program turut menampilkan Profesor Ashley Harrison, Fulbright Specialist dari University of Georgia, sebagai tetamu jemputan khas.

Sesi ceramah, forum dan bengkel dikendalikan oleh barisan pakar, profesional serta individu berpengalaman dalam bidang autisme yang berkongsi pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik bersama para peserta. Perkongsian tersebut turut memberi peluang kepada peserta untuk memahami autisme daripada pelbagai perspektif serta mengenal pasti pendekatan yang lebih sesuai dalam memberikan sokongan kepada individu autisme.

Penganjuran program ini mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan, profesional, komuniti dan organisasi berkaitan dalam membina ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh dan inklusif untuk individu autisme.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penceramah, panel forum, moderator, fasilitator, agensi dan organisasi pempamer, rakan strategik, sukarelawan, peserta serta seluruh urus setia atas komitmen dan kerjasama yang diberikan.

Program ini diharapkan dapat terus memperkukuh kesedaran masyarakat, memperluas jaringan kerjasama pelbagai pihak serta menyokong usaha membina persekitaran yang lebih inklusif demi kesejahteraan individu autisme dan keluarga mereka.