Skip to main content

School of Educational Studies  |  Main Campus

SESI PERJUMPAAN BERSAMA PEMEGANG TARUH PUSAT PENGAJIAN ILMU PENDIDIKAN (PPIP)

Pada 8 April 2026 (Rabu), satu sesi perjumpaan bersama pemegang taruh telah berjaya dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) bertempat di Bilik Persidangan Idris Babjee, PPIP pada jam 9.30 pagi.

Sesi ini diadakan dengan tujuan utama untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak pemegang taruh bagi memastikan pendekatan pembelajaran dan pengajaran program akademik yang ditawarkan sentiasa relevan, berdaya saing serta selaras dengan hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen PPIP dalam memperkukuh kualiti pendidikan melalui penglibatan aktif pihak berkepentingan.

Perjumpaan ini telah dihadiri oleh seramai 30 orang pemegang taruh yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional termasuk Guru, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), wakil Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Penolong PPD, wakil Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Alumni serta wakil ibu bapa dan pesara guru. Kehadiran pelbagai pihak ini telah menyumbang kepada perkongsian pandangan yang konstruktif dan menyeluruh.

Sepanjang sesi berlangsung, para peserta telah memberikan pelbagai cadangan dan pandangan serta maklum balas yang bernas berkaitan penambahbaikan kurikulum, kaedah pengajaran, serta keperluan semasa dalam bidang pendidikan. Perbincangan yang berlangsung secara dua hala ini dilihat mampu membantu PPIP dalam merangka strategi yang lebih efektif demi melahirkan graduan yang berkualiti dan memenuhi keperluan industri pendidikan.

Program ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan. Sebagai tanda penghargaan kepada semua yang hadir sesi ini turut disusuli dengan jamuan makan tengah hari bersempena Majlis Hari Raya PPIP yang diadakan secara tertutup kepada seluruh warga PPIP.

Secara keseluruhannya, penganjuran sesi perjumpaan ini diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara PPIP dan pemegang taruh seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan berterusan dalam bidang pendidikan.