• Home
  • NEWS & EVENTS
  • NEWS
  • PPPM mampu rapatkan jurang pendidikan

PPPM mampu rapatkan jurang pendidikan

KUALA LUMPUR 28 Julai – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilihat berjaya merapatkan jurang pendidikan antara pelajar luar bandar dengan bandar dalam usaha kerajaan melahirkan individu yang mampu berdaya saing di peringkat global. 

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, inisiatif Kementerian Pendidikan seperti menambah baik infrastruktur sekolah dan menempatkan guru terlatih di luar bandar terbukti berjaya meningkatkan taraf pendidikan pelajar di semua peringkat.

Katanya, selain itu, langkah memperketatkan syarat kemasukan guru-guru dalam usaha menjaga imej dan reputasi profesion perguruan juga mampu melahirkan pelajar-pelajar berkualiti tinggi.

“Kuasa lebih luas yang diberikan kepada Pejabat Pendidikan negeri dan daerah juga telah membantu melaksanakan banyak program yang dapat meningkatkan pencapai­an akademik pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas Laporan Tahunan 2014 PPPM yang berjaya me­rubah sistem pendidikan negara, membabitkan lima aspek utama iaitu kualiti, akses, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Dalam pada itu, Alimuddin berkata, PPPM juga dilihat dapat melahirkan modal insan yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif serta mampu memajukan negara.

“Ini terbukti dengan pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang membawa perubahan besar dalam sistem pendidikan kita bagi melahirkan individu yang mampu berfikir dengan bijak walau dalam apa situasi sekalipun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kluster Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Abdul Rashid Mohamed berkata, penambahbaikan cara pembelajaran dalam bidang sains, matematik dan teknologi perlu difokuskan.

“Dianggarkan hanya 28 peratus pelajar-pelajar negara ini memilih untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam jurusan berkaitan dengan sains disebabkan oleh kurangnya minat dan pendedahan mengenai bidang tersebut.” katanya.

Lihat berita ini di Utusan Online